oleh: Ketua Editor Fikruttaqwa 2009, Mukufutaru.Alhamdulillah, kami ucapkan setinggi-tinggi pujian ke hadrat Ilahi diatas nikmatnya yang tidak terkira. Kami, para Editor Fikruttaqwa berasa amat bersyukur kerana harapan kami untuk meluaskan liputan buletin Fikruttaqwa ke luar SMiK telah dimakbulkan.
SHAH ALAM, 11 Oktober - Pada tarikh tersebut. Editor Nur Muhammad Mukhtar, Abdul Rafi' Fikri dan Ahmad Hashimi telah menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1430H Peringkat Negeri Selangor yang dianjur oleh HALUANSiswa Shah Alam. Majlis yang bermula seawal 8.30 pagi ini berlangsung di Kompleks Taman Seni Islam, Shah Alam, Selangor. Tetamu yang hadir terdiri daripada ahli-ahli dan keluarga HALUAN Selangor beserta tetamu-tetamu jemputan.
Di Dewan Auditorium, Komplek Taman Kesenian Islam, majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Qari jemputan iaitu Ustaz Mohd Shukri Ali, Finalis Akademi al-Quran 2006 merangkap Imam Masjid Negeri Shah Alam dan disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi HALUAN Shah Alam YBhg. Sdr. Nor Hasbullah Omar. Majlis diserikan dengan ucapan daripada YDP HALUAN Selangor Prof. Madya Dr. Nik Mu'tasim Nik Abd. Rahman
Prof Madya Dr Nik Mu’tasim Nik Abdurrahman memperingatkan ahli HALUAN yang hadir akan kepentingan ahli-ahli HALUAN untuk memiliki ciri-ciri anggota HALUAN yang dihajati: Berakhlak, Mendidik dan Berbakti. HALUAN seharusnya menjadi medan untuk para anggotanya menabur segala keupayan dalam rangka untuk mendidik dan berbakti kepada masyarakat.
Sementara itu di Bilik Seminar berasingan, HALUANSiswa telah mengadakan tayangan video animasi bagi anak-anak HALUAN bertajuk “Saladin”. Dengan tayangan Video ini disamping dapat menarik perhatian anak-anak dan melahirkan kegembiraan, ia juga menjadi medan untuk mereka lebih mengenali dan berinteraksi dengan sahabat-sahabat mereka yang lain sejak dari kecil lagi.
Majlis tiba ke acara kemuncak iaitu Jamuan Hari Raya yang dimeriahkan lagi dengan persembahan nasyid dari tiga kumpulan nasyid jemputan iaitu Miftahul Munir dari Sekolah Rendah Ibnu Khaldun, kumpulan nasyid dari Sekolah Rendah Ibnu Kathir Gombak, dan kumpulan nasyid gabungan; Kumpulan Asy-Syifa' dan X-Shoutul Fityan.
Kumpulan nasyid gabungan; Kumpulan Asy-Syifa' dan X-Shoutul Fityan terdiri daripada Encik Abdul Rasyid(Asy-Syifa'), Nik Muhammad Dhiya' bin Nik Mohd Rosdi(X-Shoutul Fityan), Nik Muhammad Ala'uddin bin Nik Mohd Rosdi(Ex-SMiK) dan juga Nur Muhammad Mukhtar bin Mahmud(SMiK).
Satu peristiwa yang semestinya tidak akan dilupakan oleh anak-anak HALUAN adalah penyampaian duit raya yang disampaikan oleh YDP Haluan Selangor Prof Madya Dr Nik Mu’tasim Nik Abdurrahman. Kegembiraan terukir diwajah anak-anak HALUAN dan sudah semestinya mereka akan ternanti –nanti Jamuan Hari Raya HALUAN pada tahun hadapan.
Semoga Allah meredhai majlis yang gilang-gemilang ini, insyaAllah.
Semoga dengan liputan ini, pihak Fikruttaqwa berharap dan berdoa agar liputan Buletin Fikruttaqwa akan terus meluas dan berkembang bagi menyebarkan kepada masyarakat luar akan aktiviti berunsur Islam yang dianjur dan disertai oleh SMiK.
...
Baca selanjutnya...











