Promosi Mahrajan Thaqafi ke-4

Saturday, May 26, 2012

KENAPA KITA BERUBAH??



“Sesungguhnya hati itu lebih cepat berbolak balik daripada periuk yang sedang menggelegak” (kata-kata sahabat)

Masih teringat zaman belajar di SMIK dulu. Zaman penuh kenangan yang sedikit sebanyak telah mendidik diri ini untuk mengenali dan menghadapi realiti kehidupan pada hari ini. Benar, kenangan semalam yang bermakna adalah yang mengajar kita akan erti kehidupan pada hari ini. Tambahan nostalgia, kenangan, ingatan ataupun pengalaman merupakan sesuatu yang unik bagi setiap manusia, masing-masing dengan kisah mereka yang tersendiri. Sebab itu , kadangkala kita perlu berkongsi cerita dan bertukar pengalaman kerana ianya mungkin berharga dan mampu dimanfaatkan oleh orang lain.

“The world needs all of our stories” teringat salah satu iklan yang terpampang di badan keretapi bawah tanah bandar Toronto.

Memasuki SMIK pada awal tahun 2005 sebagai pelajar tingkatan satu merupakan saat yang tidak akan dilupakan. Perasaan masih bercampur-baur kerana terpaksa duduk di asrama berjauhan dengan keluarga. Mujur ada beberapa kenalan dari sekolah rendah yang merudumkan sedikit perasaan gelisah itu. Sebagai seorang bekas pengawas dan pemegang beberapa kepimpinan lain di sekolah rendah dahulu, saya ini sedikit sebanyak berperwatakan sebagai seorang yang baik dan soleh ketika di tingkatan satu. Banyak senior menyangka bahawa inilah adik yang mampu diharapkan untuk mengganti
kan mereka suatu hari nanti. Kira saya ini budak skema la ketika tu dan memang pada awalnya saya sangat benci akan pelajar-pelajar yang bermasalah. Teringat saat bermain bola di ‘padang penuh rumput’ di sekolah dimana ada seorang rakan saya yang tidak henti-henti mencarut ketika bermain. Mashallah, masih terasa lagi sampai sekarang bagaimana bencinya saya terhadap perlakuannya ketika itu sehingga saya enggan bermain bersama dengannya.

Tetapi Allah ada perancangannya yang tersendiri.

Hidup saya berubah apabila memasuki tingkatan dua. Perasaan ingin mencuba sesuatu semakin membuak-buak. Saya akhirnya terlibat dengan pelbagai salah-laku di sekolah yang tidak perlu saya ceritakan disini. Juga, ajaibnya, rakan yang saya musuhi sewaktu bermain bola dahulu telah menjadi kawan rapat saya. Secara tak langsung, kawan-kawannya juga menjadi akrab dan dekat dengan saya. Fuh, teringat lagi tahun itu. Berulang kali keluar masuk pejabat mudir. Ustaz dan cikgu-cikgu semua pandang ‘slack’ dengan saya. Kawan-kawan pula gelarkan saya sebagai budak ‘wanted’.

Macam kisah drama kan? Tetapi ini sememangnya pengalaman sebenar yang saya lalui di SMIK dan mungkin juga sedang dialami oleh adik-adik disana. Ok, tidak perlu rasanya mahu diceritakan lebih lanjut bab buruk dalam kehidupan saya itu. Tetapi sungguh Allah punyai perancangannya. Pengalaman yang dilalui bukanlah kebetulan bahkan ia dirancang oleh Allah agar kita bisa mengambil ibrah dan iktibar darinya. Ada beberapa pengajaran yang ingin saya ketengahkan daripada cerita ini:

1)     Hati manusia tidak tetap. Ia selalu dan akan terus berbolak balik. Orang yang baik hari ini mungkin berubah keesokan hari dan mereka yang teruk dan buruk pada hari ini mungkin berubah keesokan hari. Sentiasa doa supaya ditetapkan hati ini.

2)     Pentingnya untuk memilih kawan, kerana lingkungan yang baik adalah terapi terbaik untuk kita menjaga hati. Ini sangat penting. Sebab itu biah solehah merupakan antara komponen yang penting dalam proses tarbiyyah.

3)     Adik-adik yang bermasalah sebenarnya perlukan perhatian dan penghargaan dari kita. Sewaktu zaman saya bermasalah dulu, dipanggil ke pejabat mudir, dicop sebagai budak ‘wanted’ dan melanggar peraturan menjadi dan dirasai sebagai suatu kebanggan. Tak tipu. Ini kerana memang fitrah manusia dia mahu mendapat perhatian dan merasai dirinya menjadi ‘somebody’ dalam komunitinya. Tugas kita adalah bimbing mereka dengan lebih giat untuk melibatkan mereka didalam aktiviti-aktiviti disekolah supaya mereka dapat rasa ‘the sense of belonging in the community (SMIK)’.

4)     Jangan pandang serong kepada mereka-mereka yang mungkin bermasalah di mata kita. Terus terang saya katakan, antara penghalang utama untuk saya berubah dahulu ialah pandangan dan persepsi negatif daripada ustaz, senior dan rakan-rakan kepada saya. Jadi kena ubah sikap ini. Terus terang sya katakan, antara sebab utama yang memangkin perubahan saya ialah kerana penerimaan dan kepercayaan oleh para ustaz terutama Ustaz Daniel Sallehi dan Ustaz Darus ketika saya berda di tingkatan tiga. Inilah yang diperlukan oleh mereka. (Inshallah akan dikongsi ceritanya pada perkongsian akan datang)

Jadi kita memang sentiasa berubah, kerana hati kita sentiasa berubah. Justeru sangat penting untuk kita berada dalam program tarbiyyah supaya hati kita dapat dijaga, kerana hati merupakan raja bagi diri kita dan ia akan menetukan tindak-tanduk seharian kita. Dan moga-moga apabila kita berubah, kita berubah kearah kebaikan dek kerana hati kita telah lama dididik untuk cenderung kepada kebaikan. Berbahagialah yang diubah kepada kebaikan dan soronglah dorongan Allah ini bagi yang masih merasai diri dalam keburukan:

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” (3:135)

Saya sayang semua sahabat-sahabat ketika di Ibn Khaldun dulu dari tingkatan satu sampai ke tingkatan tiga. Kalian semua bermakna bagi diri ini, dan tiada seorang pun yang buruk atau kurang dari pandangan saya. Buat sahabat-sahabat yang mengenali diri ini, tidaklah perkongsian ini bertujuan untuk memburukkan sesiapa, cuma  diri ini berharap kisah KITA dapat dikongsi sebagai ibrah buat adik-adik kita.
:)
Uhibbukum fillah.

Syed Zulfaqar bin Syed Mohd Khair (Batch 9)
Toronto, Kanada

0 comments:

Post a Comment