Promosi Mahrajan Thaqafi ke-4

Thursday, June 14, 2012

Sekeping Hati

"Sekeping hati di bawa berlari, 
jauh melalui jalan yang sepi, 
jalan kebenaran indah terbentang, 
di depan matamu para pejuang...."

Masih ingat nasyid berjudul Sekeping Hati yang pernah didendangkan oleh kumpulan Saujana pada zaman era 90-an? Pendapat penulis, inilah antara nasyid yang sangat terkenal di tanah air sewaktu itu (zaman 90-an). Ya. Sebuah nasyid yang membicarakan sekeping hati. Bagi penulis sendiri, segala titik tolak perbuatan, amalan, perasaan yang muncul daripada kita adalah natijah daripada isi hati kita. Kenapa? Kita lihat sebagaimana yang telah dipesan oleh Rasul kita melalui sabdanya;

"Di dalam diri manusia itu ada seketul daging yang apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya. Maka apabila ia buruk, maka buruklah seluruh jasadnya. Ketahuilah seketul daging itu adalah hati"

-Hadis riwayat Bukhari

Maka, di sini Rasulullah SAW telah memberi satu ruangan minda untuk kita sama-sama berfikir, melihat lalu mengamati setiap inci yang ada bagaimana hati ini yang ruangnya
begitu complex tetapi boleh mendatangkan pelbagai perkara sama ada yang baik waima buruk. 

Luar lain, tapi dalam sama.

Hari ini, ramai beranggapan, "takpe, kami walaupun luarnya jahat-jahat, tapi hati kami baik". tidak kurang juga bagi wanita di luar sana, "walaupun kami tidak menutup aurat, tapi hati kami baik". Inilah satu masalah ideologi yang melanda fahaman kita sekarang ini. Mereka berbicara seolah-olah semuanya baik. Ya, mereka yakin walaupun dengan berpenampilankan sedemikian rupa, tetapi mereka mampu membawa 'qudwah' yang baik. 

"I don't know anyone in the public eye who has not made a mistake and said something in a manner that does not truly reflect their intentions."
-Jim Jeffords

Bukanlah penulis mengambil kata-kata beliau (Jim Jeffords) untuk menguatkan penghujahan ini. Tetapi ingin disampaikan di sini, bagaimana beliau yang merupakan seorang ahli politik barat boleh berfikiran begitu. Apa-apa yang kita perwatakkan di dunia ini, sama ada yang 'truth from our heart' ataupun yang berbentuk sandiwara, lakonan semata-mata sahaja, sebenarnya adalah memang daripada hasil pantulan hati kita yang baik atau sebaliknya.

Berbicarakan mengenai hukum yang telah Allah SWT sediakan buat hamba-hambaNya. Di sini dapat lihat, sihatkah 'hati' itu untuk melaksanakan tuntutan-tuntutanNya? Sihat atau tidak, kita kena melihat melalui kaca mata di sisi Allah. Sekiranya ingin dilihat melalui kaca mata manusia yakni duniawi, ketahuilah apa yang dipandang manusia itu. Semuanya baik kerana dipandu oleh tuntutan nafsu atau pun syaitan. Hati kita di'ikat' dengan rantaian godaan mereka.

Usahlah mengatakan kita baik, ya kita baik mungkin dari sudut akhlaknya. Tetapi, soal bicara hati yang luhur dan tulus, tidak ada kamus 'baik' dalam hati tersebut. Bongkak. 

Biarkan hati kecilmu itu berbicara.

Kita hidup perlu menempuh pelbagai perkara. Adakalanya, kita hampir tertewas di ambang perjuangan kita. Terikut dan terpukau dengan gelombang hasutan nafsu dan syaitan. Menyebabkan kita tidak mampu berfikir secara total. Ketika itu, kita rasa seperti di sebuah dimensi yang penuh penyeksaan. Jasadnya normal, tetapi batinnya cukup tersiksa. Teruji antara dua cinta. Cinta Allah dan cinta maksiat. Cinta yang memberi kebahagian yang berpanjang tetapi sukar untuk dikonsistenkan atau cinta yang memberi keseronokan di awalnya tetapi pengakhirannya cukup membawa penyesalan yang teramat.

Saat kita berada di dimensi itu, bertenanglah. Amati sayu-sayu bunyi yang berkemundang di segenap ruang d i dalam dirimu. Akan ada bingkisan pengharapan yang bertaut di dalam diri. Ketahuilah, itulah dia hati kecilmu itu sedang berbicara! Memujuk empunya jasad agar kembali sedar. Iman dan Islam yang menguatkan. Tetapi, malang andai kita meneruskan niat yang tidak baik setelah kita disedarkan oleh hati yang kecil ini. 

"(7)Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya. (8)Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaan. (9)Sungguh beruntung bagi orang yang menyucikannya (jiwa itu). (10)dan sungguh rugi bagi orang yang mengotorinya." 

-Surah as-Syam, ayat 7-10

Akhir bicara buat diri yang berbicara.

Sama-samalah kita menjaga anugerah si hati kecil ini. Fitrahnya yang suci harus kita melindunginya. Walaupun fitrah manusia itu memang melakukan kesilapan, tetapi ada jalannya untuk kita sentiasa membersihkan dari titik-titik noda hitam. Berdoalah agar hati ini, sentiasa tsabit  (tetap) di atas jalan yang mulia. Satu-satunya jalan yang diangkat oleh Allah SWT. Mengejar dan mengikut ajakan hati kecil ini, di bawah sebuah pengembaraan yang jalannya diwarnai dengan tribulasi dan kesukaran. Tetapi, di akhir pengembaraannya, ajakan hati kecil inilah yang akan disambut oleh Penunggu Yang Maha Kasih lagi Maha Penyanyang.





0 comments:

Post a Comment