Promosi Mahrajan Thaqafi ke-4

Friday, December 23, 2011

Hidayah Itu MilikNya

picture by N!SHOWproduction
Isnin pagi itu merupakan hari yang sungguh indah. Aku menyelak langsir jendela bercorak abstrak yang sememangnya merupakan corak kegemaranku. Dari jauh kelihatan sang suria yang baru sahaja bangkit dari lenanya memancarkan pancaran silauan mata. Kicauan merdu sang burung dengan melodi yang mengasyikkan jelas kedengaran. Pokok-pokok bunga pula melambaikan dedaunnya mengikut bayuan angin lembut. Semuanya memuji Allah, Tuhan Sekalian Alam.
  
     Pagi ini, aku ada urusan bersama Safiah merangkap sahabat baikku sejak kecil lagi. Kami sememangnya dahulu amat rapat bagai isi dan kuku. Tetapi, keakraban itu menjadi kendur apabila Safiah terpaksa berpindah ke Amerika disebabkan ayahnya bertukar tempat kerja. Jadi sebagai anak yang baik, Safiah terpaksa menurut walaupun aku tahu sebenarnya hatinya tidak rela.

     Jam menunjukkan pukul 11.30, bermakna 30 minit telah berlalu. " Mana Safiah ni? ", getus hatiku. Aku membelek semula mesej yang aku terima semalam.

" Imah, esok ana nak jumpa anti di taman berhadapan dengan Tasik Titiwangsa jam 11 tepat ye. Ana benar-benar mengharapkan kehadiran anti ! " -Safiah-

     " haih Safiah, anti ke manalah ye? ", bisik hatiku. Aku segera mendail nombor
sahabatku, tetapi panggilanku tidak terjawab. Aku mencuba lagi berkali-kali, tetapi hampa. " Dia ada hal mungkin ", bisik hatiku cuba menenangkan keadaan. Dalam keadaan sebegini, aku tidak mahu sesekali terlintas prasangka buruk terhadap sahabatku kerana aku tahu selemah-lemah ukhuwah adalah bersangka baik. Sekiranya aku bersangka buruk, maka putuslah tali ukhuwah kami.
  
     Matahari sudah tegak di atas kepala. Dari jauh kelihatan susuk tubuh seorang gadis. Dari gayanya sahaja, aku sudah tahu bahawa dia berasal dari keluarga yang berada. Pancaran terang matahari menyebabkan aku sukar untuk mengenal pasti wajah gadis itu.
  
     " IMAAAHHH !!!! ", jerit si gadis itu sambil berlari anak. Aku hanya membatukan diri. Dalam masa yang sama, otakku ligat berfikir siapakah gerangan yang memanggil namaku ini. Gadis itu kelihatan hairan. " Awak siapa? ", terpacul kalimah itu dari mulutku secara tiba-tiba. Air muka gadis itu berubah. " Ana Safiahlah ! sampai hati anti lupa ", jawabnya seperti terasa." SAFIIAHHH??!! ". Mataku terbeliak. " Maaflah, ana bukan lupa tapi muka anti jauh bezanya daripada dahulu. Itulah sebabnya susah untuk ana mengecam wajah anti ". Safiah mengangguk tanda faham. Senyuman terukir pada wajah kami lalu bersalaman.
  
     Khabar ditanya, pelbagai  cerita dikongsi, gelak tawa bersama diikuti senda gurau manja. Keadaan itu ibarat bayangan zaman mereka dahulu. Mirip sekali. Akhirnya, tali ukhuwah itu bercantum kembali.
  
     Sebenarnya wajahnya tiadalah jauh beza seperti dahulu, tetapi penampilannya yang membuatkan aku benar-benar terkejut dan sukar bagiku untuk mengecam dirinya. Dengan pakaian sendat yang menampakkan susuk tubuhnya, tudung yang tidak melepasi paras dada serta make-up tebal  yang dikenakannya. Semuanya mengikut fesyen terkini yang menjadi kebanggan gadis remaja di luar sana. Mungkin kerana dia terikut dengan budaya di sana memandangkan sudah 5 tahun dia menetap di negara itu. Safiah dahulunya seorang yang sangat alim. Tasbih bertali hijau itu sentiasa berada di sisinya tidak kira di mana dia berada. Pakaiannya pula berserdahana sahaja walaupun sebenarnya dia berasal daripada keluarga yang kaya. Katanya, Rasulullah juga kehidupannya berserdahana. Safiah juga sentiasa mengingatkan aku mengenai Allah, Tuhan Yang Maha Esa.

     " Ya Allah, ana tak perasan sudah pukul dua rupanya. Safiah, jomlah kita solat dahulu. Usai solat, kita sambung cerita kembali. "  Safiah mengangguk. Kami lantas menuju ke surau berdekatan lalu menunaikan kewajipanNYA secara berjamaah. Dalam sujud terakhirku, aku berdoa ke hadrat Ilahi supaya menggerakkan hati Safiah untuk kembali ke jalan yang Allah redhai semula. Aku juga berharap supaya Safiah berubah menjadi Safiah yang dahulu. Ya, Safiah yang selalu mengingatkan aku tentang Allah.

     Usai solat, kami sambung kembali cerita yang tidak lengkap sedari tadi. Pelbagai cerita yang dapat kudengar daripadanya tentang kehidupannya di negara asing sana. Dari ceritanya, aku tahu bahawa Safiah benar-benar gembira dan bahagia menetap di sana. Ukiran senyuman di bibirnya yang dari tadi lebar menjadi kendur secara tiba-tiba. Hatinya mula tertanya-tanya.

     " Imah, kalau anti nak tahu semua kegembiraan yang ana lalui sepanjang hidup di sana sebenarnya lansung tidak membawa kebahagiaan kepada diri ana. " Sayu sahaja lantunan suaranya. Aku hanya mendiamkan diri menunggu luahan hati seterusnya. " Memang tidak dapat dinafikan, ana sangat gembira di sana, tetapi adakah hati ana bahagia?. Hati ana sering rasa gelisah. Sering rasa resah dan tidak tenang. Ana tidak tahu apa cara yang boleh ana lakukan pada hati ana ini. Tadi semasa kita solat berjemaah, ana rasa bahagia sangat. Sebenarnya Imah, ana sudah lama tidak menunaikan solat. Sebab itulah ana teringin sangat nak jumpa anti. Ana yakin anti pasti boleh bantu ana selesaikan masalah ini. Bantulah ana, Imah ! Ana lemah sekarang ini.", rayunya dalam esak tangisan.

     Beberapa titis air jernih berguguran membasahi pipi. Aku lantas merangkul tubuh sahabatku. Kalimah syukur tidak putus-putus aku panjatkan kepadaNYA kerana telah mengembalikan sahabat yang aku cintai ke pangkal jalan yang Allah redhai. Selepas tangisannya mulai reda, aku melepaskan rangkulan.
  
     " Wahai sahabatku Safiah, Alhamdulillah, ana benar-benar bersyukur kepada Allah kerana telah mengembalikan anti ke jalanNYA semula. Anti pun perlu bersyukur kerana Allah telah memberi hidayah kepada anti. Sesungguhnya, hidayah itu adalah kehendak Allah untuk diberikan kepada sesiapa sahaja yang DIA kehendaki. Safiah sahabatku, memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa adakalanya hati itu lemah, tidak tenteram dan gelisah kerana wujudnya syaitan yang tidak pernah jemu menggoda manusia. Oleh itu, ubatilah hati anti kerana sesungguhnya hati itu juga ada hak untuk mendapat kebahagiaan. Maka penuhilah haknya melalui sinar IMAN, ISLAM dan MAKRIFATULLAH, pasti kebahagiaan dapat kautemui. Cahayakanlah hati anti setiap hari melalui bacaan ayat suci Al-Quran dengan penuh penghayatan dan kefahaman. Pasti kebahagiaan dapat kaukecapi. Basahkan lidah anti dengan berzikir memuji nama Allah. Pasti ketenangan dapat kaumiliki. Di dalam Al-Quran juga ada menyebut bahawa : Sesungguhnya dengan menyebut nama Allah, hati akan menjadi tenang. Sahabatku, sentiasalah perisaikan dirimu dengan doa kerana sesungguhnya doa itu adalah senjata orang mukmin. Safiah, ana sebenarnya bukanlah orang yang paling layak untuk membantu anti, tetapi ana yakin kerja menyeru ini tidak memerlukan manusia yang sempurna kerana setiap manusia itu tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Ana berharap anti amalkan ubat-ubat hati itu secara istiqamah. Andai anti nampak ana lemah, bantulah ana pula ya. Kita saling takmil wa istikmal ", jawabku tersenyum.

     Aku memeluk sekali lagi sahabatku dengan pelukan kemas. Kalimah syukur kulafazkan kehadrat Ilahi. Pertemuan hari ini adalah pertemuan yang disusan Allah dengan rapinya. Ya, Allah adalah sebaik-baik perancang. Allah membina semula ukhuwah dan Allah memberikan semula hidayah. Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah..



1 comments:

nurain_rihunmawaddah@yahoo.com said...

bestnye crite dlm fikruttaqwa ny,,, syukran ye

Post a Comment