Promosi Mahrajan Thaqafi ke-4

Friday, December 23, 2011

Ujian Itu Tanda KasihNya !

“Kadang Allah hilangkan sekejap matahari, kemudian dia datangkan pula guruh dan kilat. Puas kita mencari di mana matahari, rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi yang indah.”

Alangkah bagusnya jika kita boleh selalu berfikir seindah kata-kata di atas, kita mungkin akan menjadi lebih kuat untuk berhadapan dengan apa jua cabaran dan dugaan. Namun, yang menjadi masalahnya kita selalu melihat apa yang hanya terlihat oleh kita, langsung tidak mahu menduga apa yang tersembunyi di sebaliknya. Kalau dilihat semua kesusahan itu sebagai kesedihan, yang kita dapat tentulah kesusahan dan kesedihan belaka.  Tetapi jika kepayahan itu dilihat sebagai kemudahan yang mungkin tersembunyi di mana-mana, hati kita akan lebih berbaik sangka.

Hidup perlu dilihat dari perspektif yang pelbagai. Bukan Allah tidak kasih apabila menurunkan ujian tetapi kita yang gagal melihat kebaikan yang tersembunyi di dalamnya. Bukanlah Allah itu kejam apabila menimpakan ujian pada hambaNya. Kerana tidak mungkin Allah
melakukan sesuatu tanpa sebab. Sebab yang tidak akan kita ketahui tanpa berfikir dan mengambil iktibar. Ujian yang diterima manusia itu berperingkat-peringkat, kita di uji berdasarkan kemampuan masing-masing seperti mana penjelasan Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud “Tuhan tidak membebani seseorang melainkan dengan kesanggupannya”.

Ini bermakna ujian yang kita perolehi adalah kerana Allah tahu bahawa kita mampu menanganinya dengan baik. Kita dicipta olehNya dan ujian itu datang dariNya, maka Dia lebih tahu kemampuan hamba-hambaNya. Dan kita sebagai hamba mohonlah bantuan penyelesaian terbaik dariNya.

Kita akan dapat melihat hikmah ujian ataupun kelebihan yang terkandung di dalam ujian itu sendiri apabila kita meredhainya. Rasa hati yang redha pada musibah yang menimpa akan membuatkan hati jadi tenang. Dan hati yang tenang akan menjadikan akal yang lapang menjana fikiran yang waras. Orang yang berhati cekal tidak akan mudah melatah dengan segala yang menimpa. Di mana ujian itu tidak akan membuatnya bersangka buruk pada Allah dengan menyalahkan takdir.

Ujian sebagai penghapus dosa

Disebalik ujian yang perlu kita ungkapi sendiri, terselit hadiah bernilai bagi yang berjaya. Sepertimana firmanNya dalam surah As-Syura ayat 30 “Atas setiap kesusahan walaupun akibat kelalaian kita sendiri, Dia mengampunkan sebahagian dari dosa kita”.

Imam Bukhari melaporkan, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda “Tidak ada musibah yang Tuhan timpakan ke atas kita tanpa mengampunkan dosa kita walaupun cuma tercucuk duri”.

Betapa sayangnya Tuhan pada hambaNya. Biar bagaimanapun kita, tetap jua diberi peluang kembali padaNya. Malah bermacam nikmat diberi tanpa kita sedari dan tidak berkurang sedikit pun. Oleh itu, anggaplah ujian hanyalah lumrah dunia yang perlu kita hadapi. Cuma sekadar cabaran, dan telah tersedia ganjaran yang luar biasa buat mereka yang berjaya dan thabat di jalanNya.

Sebelum kalam diakhiri mari berfikir sejenak…

Mengapa kita diuji?

1.Menguji tahap keimanan
Tanpa ujian, bukanlah bermakna Allah tidak tahu tahap keimanan kita. Dia sesungguhnya Maha Mengetahui. Jadi kenapa agaknya kita diberikan ujian untuk menguji tahap iman, mari teliti contoh ini..
Apabila seseorang hendak menguruskan badan, tentunya dia perlukan penimbang berat bagi mengetahui sama ada timbangannya berkurang atau bertambah dari semasa ke semasa. Tanpa adanya penimbang mana mungkin dia dapat melihat hasilnya.
Begitulah juga dengan iman. Allah menguji manusia bagi menilai tahap keimanannya. Kita tidak akan tahu iman kita berkurang atau bertambah tanpa adanya ujian. Allah tidak menguji seseorang untuk sia-sia, sebaliknya kerana kasihnNya pada kita. Dia mahu menyelamatkan kita dari azab neraka.

2.Meningkatkan kedudukan di sisi Allah
Setelah kita tahu dimana kedudukan kita di sisi Allah, kita akan cuba mendapatkan kedudukan yang lebih baik atau lebih tinggi lagi. Mehnah dan tribulasi mengajar kita menjadi lebih matang. Apabila berlaku situasi yang sama buat kalli kedua, kita akan lebih bersedia kerana mempunyai persiapan menghadapinya hasil dari pengalaman yang pertama.
Ujian ibarat angin dan iman ibarat layang-layang. Semakin kuat angin, semakin tinggilah layang-layang terbang. Samalah jua semakin banyak ujian yang menimpa kita semakin tinggi kedudukan kita di sisi Allah.

3.Tarbiyah dari Allah
Hidup ini merupakan proses pembelajaran. Segala yang kita lalui mempunyai pengajaran yang tersendiri. Bak pepatah “pengalaman adalah guru terbaik” segala pegalaman yang dilalui akan menjadi pembelajaran yang bermakna seterusnya menjadi panduan meneruskan kehidupan.
Sekiranya segala takdir itu berjaya diharungi dengan hanya sekali percubaan, sudah tentu kita tidak akan merasa nikmat mentol, telefon, kapal terbang, komputer dan segala kemudahan yang ada pada hari ini. Kerana kebanyakan hasil ciptaan ini, tidak terhasil pada percubaan yang pertama, malah setelah ratusan kali.
Ujian merupakan tarbiyah terus dari Allah. Dengannya kita akan menjadi lebih baik., mantap, berilmu dan bersedia menghadapi cabaran hidup yang lebih mencabar.

4.Peringatan dari Allah
Ujian juga sebenarnya adalah cara halus Allah mendidik manusia agar tidak mencintai dunia dan merindukan akhirat. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. “Dunia itu ibarat penjara bagi orang yang beriman tetapi syurga bagi orang kafir”. Ujian yng banyak yang terpaksa ditempuh membuatkan orang beriman tidak sabar menanti alam syurga yang penuh nikmat.
Bukan semua yang menggembirakan itu baik untuk kita, adakalanya menjadi masalah yang sangat menyusahkan. Dan bukan semua yang tidak kita sukai itu tidak baik buat kita, adakalanya itulah punca berbahagianya kita.

Tiada manusia yang dilimpahi nikmat sepanjang masa, adakalanya derita jua.
Tiada manusia yang derita sepanjang masa, adakalanya bahagia jua.
Yang membezakan adalah bagaimana seseorang itu melihat apa yang dikatakan derita dan apa yang dikatakan bahagia.
Yang membezakan adalah persepsinya serta dari sudut apa dia melihatnya.
Yang membezakan adalah pegangan apa yang dianutinya.

Terkadang ujian yang menimpa terasa tiada upaya untuk mengharungi, namun ingatlah disebaliknya terselit hikmah yang mendalam. Hikmah yang terbaik buat diri, kerana Dia Maha Tahu kemampuanmu..dan  mahu kau selalu hampir denganNya,kerana itu imanmu diuji…


0 comments:

Post a Comment